Ismail Sabri calon PRU-15 Umno – MKT Umno

0
2

MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai ketetapan itu yang dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“MKT Umno sebulat suara mencadangkan agar Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Menurutnya, MKT juga telah membuat beberapa ketetapan lain iaitu kedudukan memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang Cuba merubah maksudnya kepada bentuk perundangan lain.

“Umno berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi ketetapan adalah satu Perhimpunan Agung Umno Khas akan diadakan pada 14 Mei ini bagi melakukan pindaan Perlembagaan Umno mengenai tempoh pemilihan parti.

“Ia bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung Umno 2021 yang lalu.

“Pada hari yang sama juga akan diadakan sambutan Hari Umno dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here