JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa lagi saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut bagi prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera.
Pengerusi PAC Parlimen, Wong Kah Woh berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar keterangan daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini.
Menurutnya, kedua-dua menteri berkenaan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera.

“Dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi itu, turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh Hardeev Singh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Prosiding ini diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, fokus PAC dalam prosiding pada hari ini termasuk mengenai pemberian kontrak pembangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn Bhd pada bulan April 2020.
“Pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh Kerajaan pada bulan November 2021 serta status rundingan Kerajaan dengan syarikat berkenaan serta pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data.
“Komitmen Kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera; dan entiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn Bhd, KPI Soft Sdn Bhd dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn Bhd di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, justeru itu PAC berpendapat bahawa perlu memanggil lagi saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut bagi prosiding berkenaan.
“PAC akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
“Selain Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 21 April 2022, Khamis untuk hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini,” katanya. – Malaysiapost

