MENTERI Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah perlu bertanggungjawab dan menjelaskan mengenai insiden kegagalan menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir Mac lalu.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kejadian itu sebagai satu penghinaan terhadap negara.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Menteri Luar harus segera menjawab tentang apa yang berlaku ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.
“Saya kesal dengan kecelaruan ini dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Dalam pengalaman saya belasan tahun sebagai Menteri dalam kerajaan yang sebelum ini. Belum pernah kita dengar lawatan rasmi Perdana Menteri tidak disambut oleh negara yang seharusnya mengundangnya,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menimbulkan satu kecelaruan dalam diplomasi negara dan Menteri Luar Negeri harus bertanggungjawab.
“Jangan dipersalahkan Duta Besar atau pegawai-pegawai di peringkat bawah. Dia harus menjawab kerana belum pernah negara terhina begini rupa kerana kecuaian dan kelembaban Menteri Luar.
“Menteri Luar harus buat kenyataan dan harus dipertanggungjawabkan,” katanya.
Kementerian Luar Negeri (KLN) pada 11 April lalu, menjelaskan bahawa Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang kerana insiden yang berlaku kepada Perdana Menteri di Dubai.
Wisma Putra memaklumkan tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri ke UAE pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua wakil berkenaan gagal menyelaras mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi peringkat tertinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac lalu.
Kegagalan itu termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.
Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tiada. – Malaysiapost

