DUA aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan oleh Polis Perak susulan didakwa menghalang tugas polis dan turut melakukan provokasi ketika kerja-kerja pembersihan kawasan tanah persendirian di Chepor, Chemor, Perak, hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Minor Faridalathrash Wahid, berkata pada 8.35 pagi tadi Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima panggilan Kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam.
Menurutnya, aduan itu mendakwa terdapat sekumpulan lelaki menghalang dan menganggu kerja-kerja pembersihan tanah serta mengancam keselamatan pekerja-pekerja pemilik tanah dia atas sebuah lot tanah milikan persendirian di kawasan Chepor.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada IPD Ipoh dan Balai Polis Kuala Kuang telah dihantar ke lokasi berkenaan untuk mengesahkan kesahihan maklumat yang diterima.
“Apabila polis sampai di tempat kejadian, didapati sekumpulan lelaki warga tempatan sedang menghalang kerja-kerja pembersihan tanah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kumpulan lelaki terbabit gagal membuktikan hak pemilikan ke atas tanah tersebut dan pegawai polis bertugas menasihatkan mereka supaya bersurai bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini sedangkan mereka juga telah melakukan kesalahan pencerobohan.
“Setelah mendengar nasihat pihak polis, kebanyakan orang awam yang berkumpul akur dan bersurai serta beredar dari tempat kejadian. Namun terdapat dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Ahli parti PSM dan enggan bekerjasama serta tidak mahu beredar.
“Malah mereka melakukan provokasi kepada pegawai-pegawai polis yang bertugas. Sehubungan itu, polis terpaksa menjalankan tangkapan ke atas kedua-dua individu terbabit mengikut Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan setelah tiga kali amaran diberikan kepada mereka bagi mengelakkan mereka terus menghasut orang ramai menggangu ketenteraman dan menceroboh,” katanya
Menurutnya, polis memberi amaran tegas kepada pihak-pihak yang berkepentingan supaya tidak menghasut orang awam melakukan tindakan-tindakan yang menggugat ketenteraman awam dan menceroboh tanah milikan orang lain.
Katanya, ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta menyalahi undang-undang dan polis akan mengamalkan dasar lebih tegas pada masa akan datang dalam mengendali kes-kes khianat awam sebegini demi memelihara ketenteraman awam serta memastikan keselamatan harta benda kerajaan mahupun orang awam terjamin. – Malaysiapost

