Tidak perlu mansuh Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan – Muhammad Faiz

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil, berpendapat Akta Anti Lompat Parti tidak memerlukan kepada pemansuhan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan.

Wakil rakyat parti Amanah itu berkata, cadangan pemansuhan itu tidak relevan dan tidak perlu kerana ironinya, Perkara 48(6) adalah berkaitan perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen, sedangkan tindakan lompat parti tidak menjurus kepada perletakan jawatan. 

Beliau berkata, di bawah peruntukan yang ada sekarang, Ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak akan dibenarkan bertanding semula di peringkat Parlimen untuk tempoh lima tahun.

“Seharusnya, satu peruntukan khusus kepada sub-Perkara 48 berkaitan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen akibat lompat parti dan hukuman atau kesan kepada kerusi yang disandang (recall election) digubal. 

“Manakala Akta Anti Lompat Parti pula digubal bagi memberikan tafsiran dan prosedur bagaimana tindakan diambil kesan daripada tindakan lompat parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Faiz berkata, memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan adalah berisiko untuk tindakan lompat parti melalui pintu belakang.

“Ini dengan cara seseorang Ahli Parlimen itu meletak jawatan dan kemudian boleh sahaja bertanding semula atas tiket parti lain tanpa dihalang (banned) untuk tempoh lima tahun. Senario ini jika berlaku akan mematahkan tujuan Akta Anti Lompat Parti.

“Lagipun, pemansuhan peruntukan sedia ada ini akan membuatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihan raya berulang kali yang pasti membazir jutaan ringgit wang rakyat,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang melarang seseorang Ahli Parlimen yang meletak jawatan menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh lima tahun harus dikekalkan untuk dijadikan penghalang perletakan jawatan sewenang-wenangnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here