‘Karya satira Ahli Parlimen seperti beruk, kera, monyet keterlaluan’ – Mujahid

0
2

MENGHUKUM semua Ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan walaupun atas piawaian sebuah satira, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, berkata sebagai seorang Ahli Parlimen beragama Islam beliau memprotes satira politik itu kerana ia didakwa melanggar etika dan adab berpandukan nilai dalam al-Quran dan Sunnah Nabi.

“Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim.

“Walaupun secara satiranya ia adalah sebuah kritikan pedas dari perspektif pengkarya seni lukisan, hakikatnya lukisan ini mahu menggambarkan realiti seolah-olah institusi Parlimen sudah bertukar menjadi sidang para beruk dan katak-katak.

“Saya menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka walaupun saya tidak bersetuju sikap melabel secara pukal ke atas semua Ahli Parlimen apatah lagi kemuliaan dewan parlimen digambarkan begitu rupa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keberadaan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat adalah mewakili kelebihan undi yang diperolehinya secara demokrasi berpilihan raya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya, adalah wajar pilihan pengundi dihormati kerana mereka juga tidak mahu dikaitkan sebagai ‘pengundi beruk dan kera’.

“Rakyat boleh sahaja menilai melalui sesi persidangan yang dibuat secara langsung, bukan semua Ahli Parlimen seperti ditanggap.

“Media pula suka menonjolkan berita sensasi bertikam lidah tetapi jarang melaporkan idea-idea bernas dan perbahasan yang beradab sebagai bahan berita,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau menghargai hak berkarya namun berhak untuk mempertahankan diri apabila cabang pemerintahan iaitu Legaslatif diperlekehkan.

“Ini bukan soal siapa makan cili terasa pedas tetapi satira ini umpama kata orang tua-tua kita ‘bagaimana tidak hujan, katak bentung dalam telaga berteriak selalu’,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli karya lukisan yang memaparkan Dewan Rakyat yang dipenuhi haiwan seperti katak dan monyet.

Karya itu hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua orang lagi kakitangan Parlimen.

Sebaliknya, kesemua tempat duduk dalam Dewan Rakyat diisi oleh haiwan-haiwan seperti katak, monyet, beruk dan gorila. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here