Lepas habis bulan puasa, kita debatlah sepuas hati – Isham Jalil

0
2

KEM Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar dapat menahan kesabaran sehingga berakhirnya Ramadan untuk menyaksikan perdebatan Najib vs Anwar yang julung kali bakal diadakan.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil berkata, alangkah baiknya perdebatan antara Anwar dengan Datuk Seri Najib Razak diadakan selepas bulan Ramadan demi menjaga kesucian bulan mulia ini yang sepatutnya dirancakkan dengan melipatgandakan amalan ibadat.

“PKR mahu debat segera, dalam bulan puasa ini. Saya kata, tunggulah dulu sekejap, bulan-bulan puasa ini orang mahu tumpukan kepada ibadat, bukan berdebat,” katanya di Facebook, hari ini.

Isham juga menegaskan, apa yang penting nilai hormat kepada Ramadan tidak dihilangkan hanya semata-mata untuk berdebat dengan Anwar.

“Kita tiada masalah kalau Anwar nak berdebat malam ini sekali pun, tetapi hormatilah orang-orang yang berpuasa dan bersolat terawikh beberapa minggu ini sahaja pun.

“Takkan nak mula debat semasa berpuasa atau selepas Terawikh dan habis tengah-tengah malam? Lepas habis bulan puasa, kita debatlah sepuas hati,” katanya.

Pada masa sama Isham sempat menyindir Anwar yang baru sahaja mengekalkan jawatan Presiden PKR untuk sepenggal lagi.

“Janganlah tak menyempat-nyempat, Anwar. Hang puasa ka tak? Taulah awak baru menang Presiden tanpa bertanding. Kurangkan berkepak bulan Ramadan ini. Salam,” sinisnya.

Difahamkan, perdebatan dua tokoh politik terkemuka tanah air itu berhubung isu Sapura Energy Berhad (SEB) belum mendapat tarikh yang sesuai.

Penyelaras debat bagi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua pihak mempunyai pandangan berbeza mengenai tarikh bila debat itu perlu diadakan.

“Anwar dah sedia lakukannya sebelum ini lagi, tapi pasukan Najib nak ia diadakan beberapa hari selepas Hari Raya. Saya rasa orang ramai nak lihat perdebatan itu tak lama lagi,” katanya dipetik Malaysiakini.

Fahmi turut dilaporkan berkata, kedua-dua penyelaras akan bertemu esok bagi membincangkan perkara itu.

Beliau yang juga pengarah komunikasi PKR berkata, selain masa dan tarikh, antara perkara lain akan dibincangkan termasuk rakan media dan moderator.

Sebelum ini, Anwar menyatakan kesediaannya berdepan dan berdebat dengan Najib mengenai isu kewangan SEB yang merupakan syarikat perkhidmatan pelantar minyak bersepadu Malaysia.

Kenyataan itu dibuat selepas Najib dilaporkan berkata, beliau bersedia menerima cabaran debat daripada Rafizi Ramli namun ia perlu turut melibatkan Anwar selaku presiden PKR.

Najib turut meminta pasukan Anwar serta Rafizi mengaturkan dengan media jika berhasrat mahu diadakan secara langsung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here