Ganja perubatan: Malaysia mampu raih manfaat besar

0
1

PASUKAN Kaukus Ganja Perubatan percaya Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri itu untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara.

Kaukus Ganja Perubatan dalam kenyataan berkata, industri itu adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara- negara luar.

“Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion. Malah, negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pasukan itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu, pasukan Kaukus Ganja Perubatan telah membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan (medical cannabis) dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.

Selain daripada itu, Kaukus Ganja Perubatan juga membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Katanya, pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan rasmi sebentar tadi.

“Perdana Menteri telah memberi respons yang positif dan isu-isu berkaitan industri ini akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kaukus Ganja Perubatan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri atas sesi pertemuan rasmi sebentar tadi.

“Kerjasama yang erat dalam isu ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dan negara,” kata kenyataan itu.

Pasukan Kaukus Ganja Perubatan adalah jalinan kerjasama dwi-partisan antara Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Manakala, enam Ahli Parlimen yang menyertai pasukan ini ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar Arulanandam (PN- Kuala Langat).

Selain itu, Datuk Ignatius Darell Leiking (PN-Penampang), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (Pejuang-Kuala Kedah). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here