Mangsa sindiket pekerjaan didera, diseksa dengan alat renjatan elektrik

0
3

MANGSA penipuan tawaran kerja di Kemboja terpaksa menanggung azab didera ketika menjadi tahanan kumpulan sindiket penipuan antarabangsa itu sejak Oktober lalu.

Seramai 16 warga Malaysia yang terpedaya tawaran sindiket itu bukan sahaja dikurung dan dikawal ketat sindiket, malah ditampar, dipukul dan dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik.

Perkara itu didedahkan Peguam yang mewakil kesemua mangsa, Heng Zhi Li, ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Saudara Heng Zhi Li (Nombor 2 dari kiri)

Menurutnya, dia dimaklumkan seorang daripada mangsa dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik oleh sindiket selepas ditangkap kerana cuba melarikan diri.

“Mangsa cuba lari dari kawasan kurungan untuk memohon bantuan orang awam namun disedari kumpulan sindiket itu.

“Selepas kejadian itu, semua mangsa diberi amaran tindakan lebih keras jika cuba melarikan diri,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Zhi Li berkata, mangsa yang dikawal ketat oleh ahli sindiket yang menggunakan senjata api tidak disediakan tempat tinggal selesa dan makanan mencukupi.

Katanya lagi, pihaknya membuat siasatan mengenai mangsa sejak Januari lalu selepas menerima aduan dari seorang kakak mangsa.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bagi mengesan koordinat bangunan serta gambar bangunan didiami mangsa.

Terdahulu 12 daripada 16 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja selamat tiba di klia2 pagi tadi.

Mereka tiba pada jam 8 pagi sebelum disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Bagaimanapun, empat lagi mangsa termasuk tiga lelaki dan seorang wanita tidak dapat dibawa pulang hari ini selepas disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Heng Zhi Li

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here