BADAN Pengawas Ubat dan Makanan Indonesian (BPOM) memutuskan untuk menghentikan sementara penjualan produk coklat berbentuk telur jenama Kinder atau dikenali Kinder Egg.
Memetik laporan Kompas.com, penghentian produk itu dibuat sehingga ia dipastikan tidak mengandungi pencemaran bakteria Salmonella.
“BPOM juga mengawal dan memastikan penghentian penjualan tersebut dilakukan sesuai dengan prosedur yang dilakukan,” menurut kenyataan BPOM.
BPOM menyatakan, pihaknya akan melakukan persampelan secara rawak dan ujian di seluruh wilayah Indonesia terhadap produk Kinder yang berdaftar.
Tambah BPOM, penghentian sementara penjualan produk itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga, meskipun coklat kinder Egg yang ditarik di negara Eropah berbeza dengan coklat Kinder yang berdaftar di bawah BPOM.
“Jika masyarakat menemukan produk coklat Kinder Egg yang tidak berdaftar di BPOM, diminta melaporkan ke BPOM melalui Contact Center HALOBPOM atau Unit Layanan Pengaduan Konsumen (ULPK) Balai Besar/Balai/Loka POM di seluruh Indonesia,” katanya.
BPOM turut menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada mereka sekiranya menemukan produk coklat Kinder yang tidak berdaftar dengan Unit Pengaduan Pengguna di seluruh negara.
Jelasnya, pengguna perlu bijak ketika membuat pembelian dan tidak mudah terpengaruh dengan isu tersebar.
Pada 2 April lalu, Agensi Piawaian Makanan United Kingdom menarik balik pengedaran coklat tersebut selepas dicemari dengan Salmonella.
Bakteria itu boleh menimbulkan gejala seperti cirit-birit, demam dan sakit perut. – Malaysiapost

