Tak guna duit anak yatim, orang miskin bayar tunggakan gaji KFA

0
3

“Adakah peminat-peminat mahu saya ambil duit anak yatim, orang miskin, ibu tunggal, duit untuk sekolah, duit untuk pembangunan untuk bayar segala tunggakan KFA?

“Saya Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan lakukan!” kata Menteri Besar Kedah berhubung isu tunggakan gaji pasukan Lang Merah.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), berkata isu tunggakan gaji sudah lama berlaku dan berlaku pada zaman pemerintahan terdahulu.

“Isu tunggakan ini bukan hanya membabitkan gaji pemain sahaja, tetapi ada beberapa lagi tunggakan yang pimpinan lepas lakukan.

“Antaranya tunggakan KWSP, LHDN, dan bayaran penyelia tiket pengangkutan,” katanya menerusi Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA.

Sanusi menegaskan, beliau tidak akan menggunakan duit rakyat untuk membayar gaji pemain yang tertunggak disebabkan janji yang pimpinan lepas aturkan.

Sementara itu, menerusi laporan BH, KFA kini berhadapan dengan bebanan tinggi peninggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk tunggakan gaji sejak tahun lalu.

Sanusi berkata, beliau dan pihak pengurusan KFA akan mengkaji sedalam-dalamya mengenai perancangan pengurusan tertinggi yang lalu sebelum menilai semula kesesuaian perancangan termasuk pemotongan gaji yang bakal dilakukan KFA.

“Saya ada dua hingga tiga penaja baharu yang saya akan pergi berjumpa dan juga mereka akan datang berjumpa saya dan setakat ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu dan saya harap ianya menjadi kenyataan.

“Saya positif berkaitan hal penajaan ini cuma berkaitan gaji saya harap tukarlah sedikit dan janganlah tinggi sangat,” katanya.