Pengharaman kapcai prestasi tinggi jejas industri pasaran motosikal – Zahid

0
2
zahid hamidi

LANGKAH pengharaman ke atas kapcai berprestasi tinggi dikhuatiri akan mengganggu industri pasaran motosikal negara yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau percaya langkah itu akan memberi kesan buruknya terhadap mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja.

Malah, katanya, sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan.

“Pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda.

“Dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.

“Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

“Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kapchai juga menjadi pilihan pelajar institusi pengajian tinggi kerana tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta untuk anak ke kuliah atau kelas.

“Kita pernah mendengar tentang kapcai’ walaupun speed-cut (batasan halaju) 110 km/j masih boleh diubah suai untuk ditambah kelajuan.

“Kerana itu juga kita pernah dengar tentang ‘kapcai’ boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j untuk tujuan lumba haram.

“Ini bermaksud walaupun ‘kapcai’ berprestasi tinggi diharamkan, masalah sebenar iaitu kelajuan yang tidak selamat akan terus berlaku,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah berhubung sikap pengguna jalan raya.

“Tentang usaha memperkasa kesedaran mereka terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

“Menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri.

“Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak mahu cadangan itu umpama kiasan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Katanya, beliau tidak memperkecilkan cadangan tersebut namun percaya beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu.

Katanya, walau apa jua prestasi motosikal jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi.

“Kecuali berlaku faktor-faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyarankan motosikal kapcai berprestasi tinggi diharamkan penjualan dan penggunaan di jalan raya.

Saranan Acryl Sani itu adalah susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal berkenaan.

Ia selepas tersebarnya video mengenai model keluaran terbaru, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin ‘dyno’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here