PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Farizal Marlias dilapor dalam keadaan stabil susulan pelanggaran dengan rakan sepasukan, Shane Lowry.
Ketua pasukan JDT itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam tadi.
Menurut hantaran di Facebook Johor Southern Tigers, Mohd Farizal akan kekal dalam pemerhatian, selain perlu menjalani beberapa ujian perubatan di hospital.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat melawat Mohd Farizal di hospital.
Penjaga gol kebangsaan itu cedera selepas berlanggar dengan Lowry ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain tengah TFC, Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-61.
Mohd Farizal yang seakan tidak sedarkan diri terpaksa diusung keluar dan diganti penjaga gol simpanan, Muhammad Haziq Nadzli.
Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan menang 2-1 menerusi dua jaringan Bergson da Silva manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Kpah Sherman. – Malaysiapost

