PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan sebuah sampan kayu mengandungi kira-kira 200 kilogram (kg) daun ketum di perairan berhampiran Pulau Ketam, Perlis jam 4.30 awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan terbabit pihaknya menemui 20 bungkusan plastik hitam disimpan dibahagian hadapan sampan kayu tersebut mengandungi daun ketum.
Menurutnya, tekong sampan berkenaan dipercayai bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sampan yang membawa daun ketum terbabit.
“Daun ketum itu dibawa menuju ke arah sempadan laut Malaysia – Thailand sebelum berjaya dikesan oleh bot ronda PPM.
“Panik akibat dikesan oleh bot ronda penguatkuasa, suspek seorang lelaki dipercayai tekong sampan kayu tersebut nekad memecut laju ke arah pantai sebelum meloloskan diri di kawasan hutan bakau berdekatan.
“Pemeriksaan lanjut dibuat di atas sampan kayu berkenaan menemui kira-kira 200kg bungkusan plastik hitam disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan daun ketum dan sampan kayu berserta enjin yang dirampas dianggarkan bernilai RM15,000 dan kesemua rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Malaysiapost

