JABATAN Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri sehingga jam 8 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu akan melanda beberapa kawasan di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Baling, Kulim dan Bandar Baharu); Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Hulu Perak) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong).
“Termasuk Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin); Melaka serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga 8 malam, Ahad, 10 April 2022 ,” menurut kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – Malaysiapost

