18 pemandu mabuk ditahan

0
3

SERAMAI 30 pengguna jalan raya ditahan dalam operasi hujung minggu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sekitar ibu negara bermula jam 10 malam Jumaat hingga 4 pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata Op Samseng Jalanan, Op Motosikal dan Op Pelbagai Kesalahan itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya AKLEH dan DUKE.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 805 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 36 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

“Tangkapan terhadap 18 lelaki tempatan yang berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Seramai 10 lelaki tempatan turut ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi ‘zig-zag’, ‘roket’, ‘superman’ serta bersaing. Kesemua tangkapan berusia 16 hingga 21 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

“Dua lagi tangkapan adalah membabitkan lelaki tempatan berusia 16 dan 24 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan dan kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here