Pemilihan PKR 2022: Buatlah pilihan dengan bijak – Anwar

0
3

AHLI-ahli PKR diingatkan agar membuat pilihan yang bijak dalam Pemilihan PKR 2022 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini.

Peringatan itu dibuat oleh Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendapat hanya ahli-ahli PKR dapat menilai setiap calon dengan baik.

“Mudah-mudahan anda dapat menjalankan tugas (memilih) dengan baik kerana itu yang penting.

“Kadang-kadang saya lihat bila masa pertandingan parti dia (calon) berhempas pulas hebat luar biasa. Yang tak pernah nampak mula menonjol, tetapi selepas itu tenggelam tanpa suara tanpa berita, jangan jadi begitu.

“Sebab itu saya kata yang terbaik dapat menilai adalah ahli-ahli. Gunakanlah kebijaksanaan dengan sebaiknya supaya kita berbuat amal untuk kebaikan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi tazkirah dalam majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban malam tadi.

Di penghujung tazkirah, beliau memberikan pandangan berhubung pemilihan PKR yang akan datang.

Anwar berkata, terdapat pihak yang mengatakan beliau memberi restu kepada semua yang mencalonkan diri dalam pemilihan kali ini.

“Sejak pencalonan dibuka dan saya dengar banyak mengatakan semua yang bertanding mendapat restu Presiden, saya ucapkan terima kasih. Saya restu pertandingan yang sihat, yang punyai kelayakan dan kewibawaan untuk memimpin.

“Siapa yang tentukan? Ahli-ahli. Ahli-ahli yang bagaimana? Ahli-ahli yang punyai semangat yang kental dan akhlak yang baik. Kalau ahli-ahli itu memilih orang kerana janji, ramai yang janji umpamanya kerusi (pilihan raya) ini kamu punya..kerusi ini pak mentua kamu punya..nasib kamulah.

“Saya nak beritahu sebagai Presiden..saya belum tahu sama ada ada pertandingan atau tidak, tetapi jika ditakdirkan saya kekal sebagai Presiden, saya nak beritahu setakat ini sehingga hari ini saya belum menjanjikan kerusi bagi sesiapa di negara ini termasuk saya,” katanya.

Beliau berkata, orang yang berjanji berkenaan terutama di bulan Ramadan ini termasuk sebagai pendusta dan ahli-ahli jangan tertipu dengan cara yang sedemikian kerana ia tidak membantu.

“Ini soal urusan parti dan saya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH), walaupun calon itu calon PKR dan kerusi PKR lalu saya bawa maklumat itu untuk berbincang dengan pimpinan PH.

“Dulu Lim Guan Eng sekarang Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah), kita bincang sebagai satu pasukan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan agar semua calon bertanding dengan baik dan dengan niat perlumbaan ke arah kebaikan, bukan untuk adu domba seperti budaya parti lain yang kini sudah mulai rosak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here