SERAMAI 16 rakyat Malaysia diselamatkan di Kemboja selepas ditipu satu sindiket penipuan pekerjaan menerusi aplikasi Facebook.
Kesemua mangsa berusia lingkungan 19 tahun hingga 43 tahun yang terdiri dari 15 lelaki dan seorang perempuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kesemua mereka diselamatkan, pada Selasa lalu dengan bantuan dan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Interpol, Aseanapol dan Kementerian Luar Negeri, pihak Cambodian National Police.
“Kesemua mangsa mendakwa telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di kemboja dengan tawaran gaji yang lumayan melalui aplikasi Facebook.
“Segala kos perbelanjaan perjalanan ditanggung oleh pihak syarikat di kemboja. setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa telah dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan yang ketat.
“Setelah sampai di negara destinasi, mangsa baru sedar pekerjaan sebenar dan merasakan telah diperdayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Jalil berkata, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dipaksa untuk bekerja sebagai scammer.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Phnom Penh, Kemboja sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji yang lumayan di luar negara melalui apa jua cara bagi mengelakkan orang ramai dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi keuntungan dan kepentingan mereka.
” PDRM juga amat mengalu-mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat tentang sindiket memperdayakan warganegara malaysia dan memaksa mangsa menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang di luar negara untuk menyalurkannya di mana-mana balai polis yang berdekatan. – Malaysiapost

