SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk memberi komitmen terbuka supaya siasatan bebas dijalankan ke atas insiden penerbangan pesawat MH2664.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, ini kerana keselamatan penerbangan awam adalah satu aspek yang sangat penting dalam sistem pengangkutan negara.
“Insiden tersebut perlu disiasat dengan mendalam oleh pihak berkuasa penerbangan awam iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Saya yakin CAAM telah memulakan proses siastannya.
“Untuk memberi keyakinan kepada orang ramai, hasil siasatan tersebut perlu diumumkan secara telus.
“Justeru, saya menyeru Menteri Pengangkutan memberi komitmen terbuka supaya siasatan bebas dijalankan dan sebarang hasil siasatan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 2 April lalu, pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau itu dilaporkan mengalami masalah teknikal dan menjunam seketika sebelum berpatah balik ke KLIA.
Bagaimanapun, tiga penumpang yang menaiki pesawat berkenaan hari ini meminta Malaysia Airlines Berhad serta CAAM menjalankan siasatan telus berhubung insiden tersebut.
Mereka juga tidak bersetuju dengan kenyataan syarikat penerbangan itu pada Selasa lepas yang menyatakan, pesawat itu berpatah balik ke KLIA disebabkan keadaan cuaca buruk. – Malaysiapost

