Tidak perlu gopoh bentang RUU Anti Lompat Parti – Hadi

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=530724165078329&set=pb.100044222510324.-2207520000..&type=3

RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu dilakukan secara gopoh, sebaliknya ia memerlukan penelitian secara menyeluruh, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu, berkata kerajaan perlu membuat huraian dan penaksiran secara menyeluruh sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, RUU Anti Lompat Parti perlu pada penaksiran berdasarkan perjuangan untuk menyelamatkan rakyat dan bukannya diri sendiri.

“Kita perlu sedar lompat parti ada sebab-sebabnya… jika disebabkan dasar dan perjuangan betul, ia tidak boleh ditolak, tapi jika disebabkan perjuangan salah, kita boleh tolak.

“Sebab itu kita berpendapat perlu kepada penaksiran kerana perjuangan kita adalah untuk selamatkan rakyat dan bukan selamatkan diri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ahli PAS pun tidak digalakkan mengikut kehendak parti jika dasar perjuangan diubah.

Katanya, PAS sudah melalui isu lompat parti sejak 1959 sehingga menyebabkan dua negeri, Kelantan dan Terengganu jatuh akibat wakil rakyat lompat parti pada 1960.

Katanya, PAS sudah lama berusaha menangani masalah lompat parti dan disebabkan itu parti memperkenalkan baiah.

“Mana-mana wakil rakyat daripada PAS yang melompat parti diwajibkan meletakkan jawatan, jika enggan melepaskan jawatan akan dilaknat Allah.

“Saya dimaklumkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai persediaan awal termasuk di peringkat asas Perlembagaan,” katanya.

Mengenai dakwaan Bersatu cuba untuk melengahkan pembentangan RUU itu, Abdul Hadi berkata, PAS dan parti itu sebahagian daripada kerajaan dan perlu kepada perbincangan.

“Jika Ahli Parlimen Bersatu cuba untuk melengah-lengahkan pembentangan RUU itu, kita parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan kerana kita sebahagian daripada kerajaan.

“Saya secara peribadi tidak dimaklumkan berlaku pergolakan dalam Bersatu, mungkin hanya perbezaan pendapat dan bukannya satu pergolakan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Abdul Hadi Awang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here