RAMADAN kali ini lebih bererti buat seorang kanak-kanak lelaki bernama Akid selepas kisah hidupnya yang serba kekurangan di Kota Bharu, Kelantan, tular di media sosial.
Selepas video kedaifan keluarganya tular semalam, pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini, mengunjungi keluarga berkenaan untuk menghulurkan sumbangan.
Menerusi hantaran Facebook, Ebit memaklumkan beliau juga akan membina rumah baru buat keluarga Akid.
“Syukur kami akan bina rumah baru untuk Akid. Terus beli semua barang untuk buat rumah baru dua jam selesai beli dan bayar semua barang untuk buat rumah.
“Selepas subuh terus keluar rumah pukul 7.30 pagi tadi terus terbang dari Subang ke Kota Bharu. Terus ke rumah adik Akid,” katanya.

Jelas Ebit, Akid turut menangis dan sebak kerana tidak menyangka ada pihak yang akan datang untuk membantu keluarganya.
Malah, kanak-kanak itu juga berazam untuk mencontohi sikap dermawan Ebit serta mahu membantu orang miskin.
“Adik akid menangis ye. Jangan sedih. Kita ada Allah. Syukur kami akan bina rumah baru untuk Akid.
“Terus beli semua barang untuk buat rumah baru. Dua jam selesai beli dan bayar semua barang untuk buat rumah.
“Saya orang biasa je adik. Adik orang baik. Allah sayang adik. Ramai orang ambil berat pasal adik. Semua orang sayang adik,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit turut berterima kasih kepada My Fund Action kerana mendedahkan kesusahan yang dihadapi keluarga berkenaan.
“Tadi pun semua ada bersama. Terima kasih Penghulu, orang kampung, Imam, NGO lain, kak Raja Anita, Abang Amran. Terima kasih My Fund Action viralkan video dan Kru Pertubuhan Kasih Umat Malaysia,” katanya.
Semalam, tular video di media sosial MyFundAction mengenai kesusahan adik Akib yang terpaksa bekerja bagi mencari sesuap nasi.
Dalam video itu, turut memaparkan rumah didiami keluarga itu yang hampir roboh. – Malaysiapost

