Ramai ahli Amanah kembali sokong PAS

0
2

SEBAHAGIAN ahli dan penyokong PAS yang menyertai Amanah pada 2015 lalu, kini telah kembali ke pangkal jalan untuk mendokong parti itu semula.

Perkara itu disahkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang berkata, perkembangan yang berlaku itu akan mengukuhkan lagi perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini.

“Saya dimaklumkan ada yang sudah kembali, bahkan ramai akan berbuat begitu juga. Saya pun ada dihubungi bukan untuk mereka kembali tetapi untuk membina semula hubungan lama.

“Hubungan ini sekurang-kurangnya berbentuk peribadi. Saya kira ini merupakan satu perkembangan baik,” katanya dipetik Harakahdaily, hari ini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri minggu lepas Dr Fadzli yang juga anggota EXCO kerajaan negeri berkata, PAS tiada masalah sekiranya Amanah berminat menyertai Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, PAS pernah menerima kembali Berjasa dan Hamim yang diasas bekas pemimpin PAS setelah parti terbabit bergabung bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990.

“Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mempertahankan dua teras penting di negara ini, menjadi antara sebab sebahagian ahli Amanah kembali kepada PAS,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here