
AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata tidak wajar untuk menghukum peniaga kecil susulan kenaikan harga juala ayam tanpa melihat aspek ekonomi yang lebih luas.
Ahmad Shabery juga berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat memberi jawapan susulan keluhan peniaga ayam termasuk di Terengganu.
“Menghukum peniaga kecil tanpa melihat aspek ekonomi yang lebih luas perlukan penjelasan yang lebih mendalam.
“Kita ada Timbalan Menteri KPDNHEP dari Terengganu. Pasti beliau ada jawapan kepada keluhan peniaga ayam, orang Teranung kita,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau pernah diajukan soalan berhubung isu berkenaan daripada wartawan, termasuk dakwaan ada pihak yang sengaja menaikan harga ayam untuk mendapatkan keuntungan berlebihan.
“Saya beritahu isu ini agak kompleks. Pertama, harga jagung dunia berada di paras yang tinggi. Dedak dibuat dari jagung. Kita import hampir semuanya.
“Kedua, harga minyak dunia juga tinggi. Ini bermakna kos pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan juga tinggi. Di samping jagung juga boleh digunakan untuk bahan api.
“Ketiga, Ringgit ke Dollar juga semakin mahal. Kini 1USD = 4.22 MYR. Faktor ini real,” katanya.
Jelas beliau, apabila dolar mahal, kenaikan harga jagung yang sememangnya mahal menjadi bertambah mahal kerana dibeli dalam dolar.
“Ia menjadi bertambah mahal lagi kerana kos pengangkutan dari Argentina menjadi lebih mahal,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri menaikkan harga juadah mereka sehingga 30 peratus.
Peniaga memberi alasan kenaikan itu terpaksa dilakukan kerana berlakunya kenaikan harga barang mentah, sewa tapak dan kos memasak.
Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendakwa tiada keperluan peniaga termasuk peniaga di bazar Ramadan untuk menaikkan harga kerana kebanyakan harga barang mentah sudah dikawal kerajaan.
Alexander berkata, kawalan harga berkenaan termasuk ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am, gula, gas cecair memasak (LPG), RON95 dan Diesel untuk pengangkutan. – Malaysiapost
