Pelitup muka SIRIM: ‘Sebab itu rakyat kena bersuara’ – Syed Saddiq

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap rakyat Malaysia terus bersuara untuk menyemak setiap tindakan kerajaan kerana itu merupakan hak rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan kerajaan yang mengumumkan penangguhan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan yang dijadual bermula 4 Julai ini kepada 1 Januari tahun depan.

Syed Saddiq berkata, penangguhan syarat baharu kerajaan itu membuktikan ‘suara rakyat’ sangat penting dalam setiap tindak-tanduk dan keputusan kerajaan.

“Akhirnya kerajaan tangguhkan arahan untuk ‘facemask’ wajib dapat perakuan SIRIM.

“Inilah sebabnya kita kena bersuara. Arahan yang dikeluarkan kerajaan ini menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan apakah perancangan kerajaan seterusnya berhubung ketetapan berkenaan.

“Jadi sekarang kerajaan dah tangguhkan arahan ini. Saya tak pasti apa lagi rancangan kerajaan dalam hal ini.

“Teruskan bersuara untuk menyemak setiap tindakan kerajaan kerana itu adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau turut tertanya-tanya adakah kualiti pelitup muka yang ada di pasaran ketika ini tidak cukup untuk melindungi kesihatan pengguna.

“Jika betul begitu, kenapa baru sekarang nak laksanakan perakuan SIRIM?,” soalnya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penangguhan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan mengenai penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas umum.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM.

KPDHEP menyebut, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here