PELAWAK, Sabri Yunus meminta orang ramai berhati-hati dan tidak terpedaya dengan scammer yang semakin aktif cuba perdaya mangsa menggunakan wajah pemimpin politik menerusi aplikasi WhatsApp.
Sabri atau popular dengan watak Pok Ya Cong Codei berkongsi kisah dirinya hampir menjadi mangsa kepada penipuan sindiket itu.
Menerusi hantaran di Facebook, pelakon itu memaklumkan beliau menerima satu pesanan mesej mengucapkan selamat menyambut Ramadan dari Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menerusi aplikasi WhatsApp.

Sabri berkata, pada mulanya mereka berbalas mesej dengan hanya bertanya khabar namun dia mula mensyaki sesuatu setelah Ibrahim atau Datuk Him meminta pertolongan dan bertanya berkenaan ‘online banking’.
“Saya menerima ucapan menyambut ramadan dari ‘Datuk Ibrahim Ali’ semalam.. Alhamdulillah ‘Datuk Him’ masih ingat ke ambo (saya) di bulan poso (puasa) ni.
“Hari ni baru ambo balas wassapnya.. Lepas tu Datuk Him tulis boleh tolong kejap… ambo rasa lain ni.. tak kan Datuk Him mitok (minta) tolong dgn ambo,” katanya.

Justeru, Sabri berkata, beliau mengetahui individu itu adalah scammer apabila dia tidak membalas menggunakan loghat Kelantan.
“Ambo tulis dalam dialek Kelate.. dia tak jawab .. dia tulis dalam Bahasa Melayu biasa.. tulis gaya orang muda.
“Datuk Him tanya ada tak akaun ke di maybank atau cimb… bila ambo tulis Datuk kan kaya… ramai kawan yang kata kaya.. kenapa saya kena tolong datuk? … dia tak balas… Hati hati… mereka sedaya upaya sekarang..,” katanya. – Malaysiapost

