RUU Anti Lompat Parti ‘tidak mudah’ kerana ada ‘katak politik’ – Shahrir Samad

0
2
shahrir samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan usaha kerajaan untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai ‘tidak mudah’.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, berkata ini kerana Jemaah Menteri kerajaan hari ini turut dibarisi oleh individu yang pernah melompat parti.

“Tidak mudah bagi sebuah kerajaan yang Jemaah Menterinya terdiri juga dari mereka yang pernah lompat parti untuk bersetuju dengan tafsiran ‘lompat parti’ atau ‘katak politik’.

“Sebanyak 39 Ahli Parlimen dalam Parlimen ke-14 pernah lompat keluar dari parti asal mereka pada PRU14,” katanya menerusi Facebook.

Shahrir berkata, kesemua individu berkenaan berbuat demikian demi mengelak pendakwaan di mahkamah ataupun mahukan jawatan.

“Kerana mereka lompat, samada mereka tidak didakwa ataupun mereka dapat jawatan yang lebih baik dari semasa mereka berada dalam parti asal mereka

“(Datuk) Mas Ermieyati (Samsudin) dan (Datuk Seri) Mustapa Mohamed merupakan Ahli Parlimen yang tidak didakwa kerana juga menerima dana dari Datuk Seri Najib (Razak). Mereka lompat, mereka selamat.

“Manakala, (Datuk Seri) Hamzah Zainudin dan (Datuk) Dr Abd Latiff Ahmad dapat jadi menteri kanan atau menteri kerana mereka lompat masuk PPBM.

“Hamzah pegang jawatan menteri yang kanan. Dr Latif sudah terlalu lama berjawatan sebagai timbalan menteri dan sebelum PRU14 pun, telah menjadi ahli parlimen biasa. Selepas lompat parti, baru jadi menteri penuh. Rezeki kan,” sindirnya.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, lebih menyukarkan lagi istilah lompat parti itu sendiri mempunyai tanggapan berbeza di kalangan Ahli Parlimen, kerana ada yang menganggap ia sebagai ‘pengkhianatan’ sementara ada pula menyifatkannya sebagai ‘ibadah’.

“Tak beramanah ke, itu soal lain. Ianya rezeki yang tidak boleh ditolak? Tapi buat masa ini, susah nak setuju pasal lompat parti.

“Prinsip pun berlain. Ada yang anggap ianya satu pengkhianatan. Ada yang pertahankannya sebagai satu ‘ibadah’!Mereka duduk semeja pula tu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here