KETUA Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin suatu hari nanti ramai pihak akan memahami perjuangannya demi kelangsungan bangsa Melayu.
Ia selepas beberapa didakwa memperlekeh usahanya untuk menyuara serta mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu sebelum ini.
“Hari ini mungkin saya dicaci, diperlekeh dan dianggap dungu hanya kerana bangkit bersuara untuk mempertahankan hak dan keistimewaan bangsa Melayu di negara ini.
“Namun percayalah, pada suatu masa nanti anda pasti akan faham yang perjuangan saya itu sangat penting demi kelangsungan anak bangsa kita kelak,” luahnya menerusi perkongsian di Facebook.
Semalam Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman membidas Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa memperkecilkan orang Melayu seolah-olah mereka suka kepada politik perpecahan.
Malah, Ahli Parlimen Muar itu membidas usaha menakut-nakutkan orang Melayu dan menimbulkan rasa tidak yakin terhadap parti yang berkonsepkan semua kaum di Malaysia.
Kenyataan Syed Saddiq itu sebagai maklum balas kepada Wan Ahmad Fahysal yang menyifatkan orang Melayu hidupnya berpuak-puak, feudal dan memerlukan pelindung.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Wan Ahmad Fayhsal berkata hentaman demi hentaman ditujukan kepadanya semata-mata kerana pandangan untuk mempertahankan hak, kedudukan dan peranan orang Melayu di bumi Malaysia.
Katanya, lebih malang lagi melihatkan ada ahli politik Melayu yang sanggup memperleceh dan mempersoalkan usaha serta wacana yang beliau bawakan dalam hal tersebut.
“Apa yang jelas, saya akan terus bersuara demi bangsa Melayu sekalipun berdiri keseorangan.
“Ini adalah prasyarat penting jika kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang meraikan seluruh rakyatnya secara adil dan saksama,” katanya. – Malaysiapost

