PELIK tapi benar, masih ada lagi peniaga kuih-muih di pasar Ramadan menjual dengan harga 20 sen sebiji.
Namun itu yang dilakukan oleh pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Mohd Haqim Mohamad, 27 dan Syahaida Sobri, 26, kerana menjual kuih muih dengan harga tak masuk akal di pasar Ramadan, Karak.
Mana tidaknya, ketika kebanyakan barang dan makanan termasuk juadah berbuka puasa mengalami kenaikan harga mendadak, mereka berdua masih lagi boleh tersenyum menjual kuih-muih pada harga 20 sen sebiji.
Jualan harga yang murah itu membuatkan mereka berdua tidak menang tangan apabila diserbu orang ramai setiap hari.
Menurut Mohd Haqim, meskipun menjual pada harga yang murah dia masih lagi tidak mengalami kerugian dan bersyukur walaupun dengan keuntungan yang sedikit.
“Saya pernah melalui detik hilang pekerjaan masa Perintah Kawalan Pergerakan dan saya merasa susahnya masa itu, jadi saya mahu semua orang boleh makan kuih kerana sekarang tidak semua orang senang.
“Alhamdulillah sambutan yang saya terima amat baik dan jualan kuih setakat ini habis setiap hari,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Menurut Mohd Haqim gerainya yang dibuka bermula jam 3 petang itu menjual pelbagai kuih seperti karipap, cucur badak, kuih kasturi, donat, pau goreng dan pelbagai lagi kuih.
Pada masa ini dia menjual masing-masing 1,000 biji karipap, pau goreng dan cucur badak, manakala kuih-kuih lain sekitar 300 hingga 500 biji sehari, setiap hari.
“Alhamdulillah dengan berniaga, pendapatan saya adalah lebih baik, mungkin ini hikmah selepas balik kampung akibat hilang kerja di Cyberjaya, Selangor,” katanya. – Malaysiapost

