BEBERAPA nama besar seperti Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau tewas di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung hari ini.
Sehingga jam 10 malam ini, Anifah yang merupakan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Daud Yusof bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.
Bekas Menteri Luar itu hanya memperoleh 3,598 undi, berbanding Daud yang meraih 5,400 undi.
Keputusan tidak rasmi juga menunjukkan Wilfred yang merupakan Presiden UPKO mewakili Warisan Plus, kalah kepada Ketua
Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai bagi DUN Kiulu.
Persaingan antara enam penjuru itu dimenangi PBS, mengalahkan Parti Liberal Demokratik (LDP), PCS, dua parti Bebas serta UPKO.
UPKO bertanding di 12 kerusi, manakala PCS bertanding di semua 73 kerusi. – MalaysiaPost

