Adun Sabah ditentukan siapa Ketua Menteri, bukan KL

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) akan menentukan siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 6.3 Undang-Undang Tubuh Negeri, Yang di-Pertua Negeri akan melantik seseorang yang mempunyai majoriti paling banyak sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka, tak hanya bincang dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah) saja.

“Rakyat Sabah terjemah sepenuhnya autonomi Umno dan BN Sabah untuk mereka iaitu Adun yang telah dipilih itu tentukan siapa (Ketua Menteri) dan diterjemahkan TYT,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya malam ini.

Ahmad Zahid berkata, secara munasabah, mana-mana parti dalam GRS yang mempunyai kerusi terbanyak wajar diberi mandat dan peluang untuk menerajui kerajaan negeri, setelah rundingan dijalankan antara semua parti terbabit.

Setakat jam 9 malam tadi, GRS yang membabitkan gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah secara tidak rasmi memenangi 37 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. – Malaysiapost