BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Kementerian Kewangan supaya memantau dan memberi penjelasan berhubung kadar faedah skim pinjaman peribadi mikro GOpinjam yang disifatkan terlampau tinggi.
Ahli Parlimen Pekan itu mempertikaikan mengenai kadar faedah yang ditawarkan melalui skim pinjaman berkenaan iaitu antara lapan peratus hingga 36 peratus setahun.
“Harap Kementerian Kewangan boleh pantau dan memberi penjelasan kenapa kadar faedah bagi skim pinjaman mikro GOpinjam bersama CIMB bank boleh sampai 36 peratus setahun.
“Terlampau membebankan, jika benar. Atau adakah ini satu kesilapan maklumat?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 1 April lalu, media melaporkan Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) memperluaskan perkhidmatannya dengan tawaran terbaharu program pinjaman peribadi inklusif GOpinjam, yang disediakan melalui Touch ‘n Go eWallet.
Majlis pelancaran program pinjaman itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
GOpinjam menawarkan pinjaman mudah dan pantas serendah RM100 sehingga RM10,000 dengan tempoh pembayaran semula yang fleksibel pada kadar faedah sebanyak lapan peratus.
Tempoh pembayaran balik untuk pinjaman adalah antara seminggu sehingga setahun, tanpa yuran tersembunyi bagi caj penyelesaian awal.
GOpinjam dibangunkan dengan kerjasama CIMB Bank dan menggunakan reka bentuk produk serta mekanisme penghantaran yang berbeza bagi memastikan perjalanan dan pengalaman pengguna terbaik.
Ia tawaran pinjaman pertama yang membolehkan pengguna meminjam daripada serendah RM100, dengan produk Pinjaman Peribadi e-Zi Tunai CIMB Bank yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). – Malaysiapost

