JABATAN Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri sehingga jam 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu akan melanda beberapa kawasan di empat negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak (Muallim) dan Kelantan (Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh).
“Termasuk Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor) sehingga 12:00 tengah hari; Rabu, 6 April 2022,” menurut kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – Malaysiapost

