SEORANG guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM42,000 akibat diperdaya oleh sindiket ‘Love Scam’ melalui laman Facebook.
Mangsa berusia 27 tahun diperdaya oleh suspek yang kononnya ingin memberi pelbagai hadiah tanpa perkenalan termasuk kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai USD3,000 (RM12,631).
Wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada Sabtu lalu, selepas menyedari diperdaya apabila barang yang dihantar suspek tidak diterima dan terpaksa membuat bayaran bagi melepaskan barangan yang dikatakan ditahan pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan, berkata mangsa berkenaan dengan suspek bernama Albert A Adams melalui Facebook pada 3 Mac lalu dan kemudian berhubung melalui WhatsApp.
“Sepanjang perkenalan suspek memberitahu ingin memberi pelbagai barang kepada mangsa sebagai tanda perkenalan. Pada 29 Mac lalu suspek memberitahu mangsa barangan berkenaan telah dihantar ke alamat mangsa dan mangsa sahkan memang ada barang yang telah sampai di Kuala Lumpur.
“Setelah mangsa membuat semakan melalui laman ‘Fast Exspress Shipping’ mendapati barangan tersebut ditahan oleh pihak Kastam Kuala Lumpur kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan tersebut dab mangsa terpedaya membuat bayaran secara berperingkat sejak 30 Mac hingga 1 April lalu berjumlah RM42,000.
“Bayaran itu diminta atas pelbagai alasan seperti bayaran pengesahan sijil barangan, bayaran peguam, pengesahan alamat penghantaran, bayaran barang kemas, bayaran tambahan dan caj kelewatan pembayaran.
“Selepas pembayaran dibuat suspek menjanjikan barangan tersebut akan sampai di alamat mangsa pada 1 April lalu namun sehingga kini barangan itu tidak diterima, malah suspek masih meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM5,000 lagi kononnya untuk kos penghantaran,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang sedar ditipu kemudian membuat laporan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“JSJK Melaka menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam mencari kenalan melalui media sosial serta membuat semakan nombor akaun dan telefon sebelum membuat sebarang bayaran di aplikasi Semak Mule CCID,” katanya. – Malaysiapost

