‘Saya tiada selera makan’ – Shuib

0
1

PELAKON dan pelawak, Shuib memaklumkan dirinya berdepan masalah kurang selera makan pada Ramadan kali ini.

“Saya berdepan masalah selera makan yang teruk. Patutnya apabila berpuasa kita lapar, tapi saya tiada selera makan.

“Saya pun tak tahu kenapa perkara ini terjadi. Sebelum ini, memang ada masalah selera makan hingga menyebabkan saya turun berat badan. Harap lepas ambil suplemen kesihatan, saya akan kembali okey,” katanya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkongsi pengalaman menyambut Ramadan kali ini dalam sebuah program yang ditayangkan di TV3.

Katanya, dia tidak berdepan kesukaran mengejutkan anak-anaknya bangun bersahur bagi menunaikan ibadah puasa.

“Seminggu sebelum menyambut ketibaan Ramadan anak-anak sudah mula berasa teruja untuk menunaikan ibadah puasa.

“Alhamdulillah setakat ini saya tiada masalah untuk kejutkan mereka bangun sahur. Malah, mereka juga bersemangat nak bantu saya seperti mengemas rumah, teman saya ke pasar atau bazar Ramadan,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, Shuib berkata dia dan anak-anak akan menyambutnya secara sederhana sebagai kemenangan mereka berpuasa sepanjang tempoh Ramadan.

“Kalau cakap tentang raya saya memang belum ada apa-apa perancangan. Kalau ada pun semuanya untuk anak-anak… sekadar nak raikan kemenangan mereka berpuasa selama 30 hari nanti.

“Tahun ini saya ada beritahu mereka untuk cuba menahan diri berpuasa selama 30 hari memandangkan tahun lalu ada satu atau dua hari yang mereka tinggal puasa.

“Perancangan nak beli baju raya anak-anak semua belum ada lagi. Tapi saya merancang untuk bawa anak menyambut Ramadan di kampung halaman kerana suasananya lebih berbeza dan seronok,” katanya.

Tahun ini adalah pertama kali Shuib dan anak-anak menjalani ibadah puasa tanpa kehadiran isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang kini berusia enam bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here