KERAJAAN bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata ia termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Kerajaan juga katanya, bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April 2022.
“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri tahun ini dibuat lebih awal sebagai langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan menyambut Aidilfitri.
Pemberian itu juga, jelasnya, adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.
“Kerajaan berharap pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara serta dijadikan pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya. – Malaysiapost

