JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menafikan hanya membuka tiga kaunter sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu, hingga mengakibatkan kesesakan.
Dalam satu kenyataan hari ini, JIM menjelaskan kesesakan pada hari berkenaan adalah berpunca daripada terdapat dikalangan pelawat asing yang tidak melengkapkan borang ‘Traveller’s Form’ dalam sistem MySejahtera.
“Mereka terpaksa dibantu oleh pegawai-pegawai Imigresen dan keadaan ini menyebabkan kelewatan dan kesesakan.
“Selain itu pada hari berkenaan juga terdapat jemaah umrah daripada Indonesia yang transit di KLIA. Kehadiran mereka tanpa pengurusan pihak yang mengendalikan transit berkenaan telah menyumbang kepada kesesakan tersebut,” menurut kenyataan itu.
JIM memaklumkan sejumlah 26 kaunter beroperasi pada hari berkenaan dan semua kaunter ‘autogate’ juga beroperasi sepenuhnya.
“Sukacita dimaklumkan bahawa kesesakan berkenaan telah berjaya diatasi dengan kerjasama semua pihak di KLIA terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan.
“Sebagai agensi barisan hadapan di pintu masuk negara, JIM akan terus memberikan komitmen terbaik dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan urusan keluar masuk pelancong dan pelabur asing serta warga tempatan berjalan lancar,” menurut JIM. – Malaysiapost

