
JUMLAH kes baharu harian Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia semalam adalah sebanyak 10,002 kes menjadikan keseluruhan 4,256,469 kes direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara.
Kes kematian baharu yang direkodkan semalam akibat wabak berkenaan adalah sebanyak 28 kematian termasuk tujuh kes diklasifikasi sebagai kematian luar hospital (BID).
Secara keseluruhan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 35,127 kematian termasuk 7,415 kes BID.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, kes import adalah 98 kes membabitkan 94 warganegara dan empat bukan warganegara.
Menurutnya, kes tempatan pula adalah 9,904 kes membabitkan 9,588 warganegara dan 316 bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 236 kes membabitkan 103 kes disahkan Covid-19; 133 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula adalah 140 kes membabitkan 55 kes disahkan Covid-19; 85 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, daripada 10,002 kes harian yang dilaporkan itu Kategori 1 adalah sebanyak 5,495 kes, Kategori 2 sebanyak 4,418 kes, Kategori 3 adalah 30 kes, manakala Kategori 4 adalah 33 kes dan Kategori 5 pula 26 kes.
“Daripada 89 kes Covid-19 Kategori 3, 4, dan 5 yang baharu itu, 31 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan
34 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.
“Sebanyak 24 kes lagi telah menerima dos penggalak, manakala 51 kes berumur 60 tahun dan ke atas; dan
60 kes mempunyai komorbid,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang dilaporkan semalam pula adalah sebanyak 23,302 kes menjadikan 4,041,723 kes kumulatif yang telah pulih.
“Jumlah kluster yang dikesan setakat ini adalah 6,940 kluster dengan tiada kluster baharu dilaporkan, manakala 6,767 kluster telah tamat dan 173 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost
