KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan ada mengeluarkan sebarang iklan jawatan kosong seperti yang dikesan disebarkan di satu laman Facebook.
Dalam satu kenyataan, KKM menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan palsu berkenaan.
“KKM mengambil maklum bahawa terdapat satu iklan di laman media sosial (Facebook) yang menyiarkan iklan jawatan kosong di KKM.
“Untuk makluman khalayak ramai, KKM tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang iklan yang menawarkan jawatan kosong seperti dinyatakan dalam ‘posting’ tersebut.
“Orang ramai diharap tidak terpedaya dan terpengaruh dengan iklan ini,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan iklan yang dilaporkan palsu itu, terdapat 4,446 kekosongan jawatan di KKM seluruh negeri dengan menawarkan gaji sebanyak RM2,740 hingga RM9,659. – Malaysiapost

