KPM teliti murid tahun 3, 4, dan 5 hadir ke sekolah tanpa penggiliran

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti situasi semasa bagi membolehkan murid tahun 3, 4, dan 5 hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran Facebook, selepas meninjau pengoperasian beberapa buah sekolah di Selangor, hari ini.

“Pagi tadi saya meninjau pengoperasian beberapa buah sekolah di negeri  Selangor sempena hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua murid sekolah menengah.

“Secara keseluruhan, seramai 2,060,997 murid sekolah menengah terlibat dalam sesi persekolahan mulai hari ini, setelah mereka mengikuti PdPR sejak awal sesi persekolahan 2022/2023,” katanya dalam hantaran itu.

Radzi berkata, selain itu seramai 2,674,104 murid sekolah rendah juga mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara bersemuka menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah menengah dan rendah adalah seramai 4,735,101 orang.

Dalam masa yang sama, beliau berkata seramai 273,025 orang murid tahun 3, 4 dan 5 bagi sekolah rendah dengan enrolmen lebih 600 murid masih hadir ke sekolah secara penggiliran.

“KPM sedang meneliti situasi semasa bagi membolehkan kumpulan murid ini dapat turut hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

“Terima kasih kepada murid, guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi keutamaan dalam aspek keselamatan agar pengoperasian sekolah secara bersemuka dapat terus berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here