Radio silap siar azan Maghrib, batal puasa jika berbuka awal

0
2

UMAT Islam yang bebuka puasa lebih awal daripada waktu Maghrib berikutan kesilapan siaran azan di stesen radio dianggap puasanya terbatal dan perlu diganti semula puasa tersebut.

Demikian pencerahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah pun tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam. Wajib diqada semula menurut jumhur ulama,” katanya.

Penjelasan dalam bentuk infografik yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini dibuat berdasarkan soalan berkaitan pertanyaan sekiranya puasa terbatal jika berbuka lebih awal berikutan stesen radio tersilap waktu menyiarkan azan Maghrib.

Terdahulu, tular insiden umat Islam di Tawau berbuka puasa lebih awal pada hari pertama Ramadan kerana kesilapan teknikal stesen radio Tawau FM menyiarkan azan Maghrib awal empat minit.

Susulan insiden itu, penyampai radio bertugas, Mohd Safwan Junit tampil memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan berkenaan kekeliruan yang berlaku petang semalam,

Menurutnya, kesilapan teknikal berlaku apabila dia menyiarkan azan Maghrib sebanyak dua kali, iaitu jam 6.16 petang dan diulang pada waktu sebenar pada 6.20 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here