DATUK Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut Sapura Energy Bhd.
“Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let’s rock! Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi (Ramli) aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan live.
“Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu hari ini Anwar menyatakan kesediaan menyahut cabaran debat Najib berhubung kemelut Sapura Energy Bhd.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata, sebelum ini beliau juga pernah mengajak bekas Perdana Menteri itu untuk berdebat, namun cabarannya tidak ‘disahut’ Najib.
Mengulas lanjut, Najib berkata beliau bagaimanapun tidak faham dengan kenyataan Anwar yang beliau hanya mencabar Presiden PKR itu setelah gagal menyanggah Rafizi mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura.
Menurut Najib, ia seolah-olah Rafizi menipu Anwar apabila dia memberi taklimat kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu berhubung isu berkenaan.
“Yang mula-mula cabar untuk debat ialah Rafizi sehari dua sebelum Ramadan bermula. Saya cuma sahut sahaja dan saya sudah menjawab kesemua sanggahan Rafizi setiap kali dia naikkan.
“Setakat ini, dia cuma buat posting tiga kali berhubung isu ini. Pertama kali, Rafizi kata jangan guna wang rakyat untuk bantu elit. Saya jawab bahawa elit mana yang dia maksudkan?
“Lebih 10,000 pekerja Sapura dan vendornya, 4,000 syarikat vendor Sapura yang kebanyakannya peniaga kecil atau sederhana atau 10.6 juta pendeposit ASB memandangkan PNB telah jadi pemegang saham terbesar Sapura Energy,” katanya.
Tambah Najib, ketiga-tiga sanggahan Rafizi telah beliau jawab bersama fakta dan bukti.
“Rafizi tipu kamu juga ke, Anwar?,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan, Najib meletakkan syarat sedia menyahut cabaran berdebat dengan Rafizi sekiranya sesi debat berkenaan disertai Anwar. – Malaysiapost

