AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang membuka sebuah kedai runcit ‘Kedai Anda’ untuk golongan asnaf berdekatan Stesen LRT Taman Perindustrian Puchong, Selangor.
Uncle Kentang berkata, dia membuka kedai runcit terbabit selepas menerima tawaran dari PRASARANA bagi membantu golongan miskin dan asnaf mendapatkan barangan keperluan dengan harga RM1.
Dalam hantaran di Facebooknya, Uncle Kentang berkata, dia mendedikasi pembukaan kedai itu kepada ibunya, selepas peristiwa hitam yang menimpa keluarganya ketika dia masik kecil dah hidup miskin.
Jelas Uncle Kentang, kemiskinan hidup keluarganya di zaman kanak-kanak memaksa ibunya sering meminta hutang kepada taukeh sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.
“Ada kisah sungguh perit di belakang story (kisah) kedai runcit ini. Dulu bila kami masih kecil, mak dan ayah amat miskin selalu pergi berhutang dekat kedai runcit.
“Mak saya dipaksa menunggu berjam jam lama, digigit nyamuk dan kami selalu menunggu mencangkung atau duduk di atas akar kayu yang besar sebagai kerusi.
“Setelah semua yang berurus membeli barang runcit makat iada orang masuk ke kedai runcit, taukeh akan panggil mak masuk dan cuba ‘ham sap’ (cabul) mak. Biasa mak akan menangis pulang dengan ‘tangan kosong’,” katanya.
Cerita Uncle Kentang lagi, demi mencari sedikit makanan buat anak-anak yang kelaparan, ibunya sering menangis kerana taukeh kedai runcit terbabit sering membuli keluarga miskin seperti mereka.
“Tetapi apa lah usaha mak, hanya dicabul oleh taukeh si durjana tersebut, buli orang miskin dan orang lapar. Saya faham ‘famili’ saya selalu berhutang tapi tak kan lah sampai begitu sekali dilakukan kepada mak,” katanya.
Justeru, Uncle Kentang berkata, bertitik tolak daripada episod duka itu, dia memasang nekad untuk membuka sebuah kedai runcit untuk golongan miskin.
“Kedai ini bagi memudahkan orang susah datang ambil barang makan. Ramai yang buli orang susah, namun yang bantu pun ramai,” katanya.
Katanya, golongan miskin yang mahu mendapatkan barangan di kedai runcit berkenaan boleh mendaftar di talian 03-80656666.
“Kalau sempat kita hantar ke rumah secara percuma, kalau tak sempat anda boleh datang beli barang runcit dari kedai ini dengan harga RM1 selepas berdaftar.
“Orang ramai yang mampu juga boleh turut derma barang-barang makanan asas di kedai ini.
“Kedai ini di namakan ‘Kedai Anda’, kerana nya ‘Dari anda kepada anda’. Jom kita hebatkan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

