DAP, Warisan tolak kerjasama dengan Muhyiddin

0
2

DAP menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tegas Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengulas usaha bekas Perdana Menteri itu untuk menjalinkan kerjasama dengan pembangkang.

Guan Eng menegaskan, tiada peluang kedua bagi Muhyiddin susulan pengkhianatan dilakukan Presiden Bersatu itu hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan, lapor Mingguan Malaysia.

“Pasti tidak akan kerjasama, mana boleh percaya dengan dia lagi? Kita tidak yakin kerana dia janji ‘tidak serupa bikin,” katanya yang turut menafikan akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, memandangkan Muhyiddin juga adalah individu yang menjadi punca beliau ‘hilang’ jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden Warisan Shafie Apdal pula mendedahkan, Muhyiddin menghubunginya, dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau sudah memberi kata putus menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.

Presiden Ama­nah, Mohamad Sabu pula berkata pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan Muhyiddin.

“Tak ada, saya tidak pernah jumpa. Dan dalam PH, kita belum bincang. Saya sendiri tidak mahu buat keputusan sebab ia mesti melalui gabungan parti, dan bukannya individu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here