SELEBRITI masakan tersohor, Khairul Aming kembali berkongsi video resepi menarik juadah bulan Ramadan pada tahun ini.
Terkenal dengan perkongsian menu ringkas dan lazat, tahun ini merupakan tahun kelima pemuda ini menyajikan video masakan yang bertemakan 30 hari 30 resepi.
Pembaharuan untuk Ramadan tahun ini, Khairul Aming muncul dengan lebih resepi menu bulan puasa yang dibahagikan kepada tiga slot.
“Slot pertama anda akan disaji dengan 30 hari 30 resepi berbuka pada waktu 12.30 tengah hari.
“Berbeza sikit dengan video berbuka puasa sebelum ini kalau video berbuka tahun ini kita akan buat dia lagi panjang lagi terperinci lagi close-up, lagi berkualiti.
“Kita akan gabung macam-macam resepi seperti minuman, pencuci mulut sampailah ke kuih raya dan selepas itu kita akan pergi ke slot petang,” katanya dalam video Instagram.
Untuk pertama kali, Khairul Aming akan memperkenalkan masakan secara langsung di Instagram dan TikTok pada waktu petang.
Atas permintaan ramai buat pertama kali juga, beliau akan memperkenalkan resepi untuk sahur yang akan menjadi slot terakhir yang akan dikongsi di media sosial pada waktu malam.
Tinjauan Malaysiapost ke Instagram Khairul Aming sekitar jam 3 petang hari ini, pemuda itu sedang bersiaran langsung (live) dengan tontonan sebanyak 50,000 penonton.
Bermula dengan membuat content masakan untuk dimuat naik ke media sosial, Khairul Aming bukan sahaja dikenali sebagai chef selebriti tetapi juga usahawan berjaya.
Produk sulungnya, Sambal Nyet sebelum ini dilaporkan mencecah jualan RM7.5 juta dalam tempoh setahun. – Malaysiapost

