KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan susulan pembukaan semula sempadan negara, Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan sempadan semestinya akan merancakkan sektor ekonomi dengan kedatangan pengunjung dari luar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan tertentu dalam pasaran.
“Apabila kita buka sempadan orang asing akan datang melawat dan memang permintaan barangan akan meningkat seperti barang makanan juga barangan lain.
“Sebab itu kita rayu pada peniaga jangan ambil peluang mengaut keuntungan yang tidak berpatutan kerana ini satu kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander turut mengulangi amaran kepada peniaga agar tidak melakukan perkara sama susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.
“Janganlah ingat pendapatan pengguna naik sedikit, peniaga juga naikkan harga barang.
“Kami akan menjalankan pemantauan agar perkara itu tidak berlaku dan tindakan akan dikenakan terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya.
Mengenai bekalan barang keperluan utama pada musim perayaan, beliau memberi jaminan, ia mencukupi dan Ops Pantau yang dilaksanakan KPDNHEP akan memastikan masalah bekalan tidak berlaku.
“Di Sarawak, kami diberi jaminan oleh pihak pengeluar bahawa bekalan ayam, telur serta daging mencukupi, bukan sahaja sepanjang Ramadan ini dan perayaan Aidilfitri, malah sehingga perayaan Gawai Dayak nanti.
“Begitu juga dengan bekalan di seluruh negara, KPDNHEP akan membuat pemantauan rapi, kajian serta libat urus dengan pihak industri untuk memastikan bekalan mencukupi,” katanya. – Malaysiapost

