ABU bukan formula terbaik untuk Malaysia – Shahril

0
3

SEJARAH telah membuktikan kerajaan yang terbentuk dan berniat semata-mata atas prinsip menafikan keupayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya untuk jangka masa lama.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, usaha terkini parti-parti pembangkang untuk sekali lagi menggunakan sentimen ‘Asal Bukan Umno’ (ABU) bukanlah formula terbaik untuk Malaysia.

“Pembuatan dasar akan celaru, persaingan, syak wasangka dan rasa tak puas hati sesama sendiri akan kian membuak.

“Sejarah telah membuktikan ABU bukan formula untuk Malaysia. Pakatan Harapan diwujudkan selepas jatuhnya Pakatan Rakyat kerana retaknya PR dari dalam selepas PAS keluar PR akibat tiadanya keharmonian ideologi dan matlamat selain ABU.

“Pakatan Harapan pun sama. Perbalahan dalam dan antara parti komponen kerana tidak ada agenda bersama selain ABU,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahril menjelaskan, sentimen ABU yang sedang diusahakan oleh parti-parti pembangkang ini bukan perkara baharu, malah pernah berjaya namun tidak kekal lama.

“Kerjasama strategik untuk menewaskan Barisan Nasional pada PRU15, itu yang sedang hangat diusahakan sesetengah pihak.

“Ini bukan benda baru. Kita pernah lihat ia berlaku atas semangat Asal Bukan Umno (ABU). Malah pernah berjaya menang pun semasa PRU14.

“Tetapi apa berlaku selepas itu? Retak dari dalam. Sebab apa? Sejarah telah membuktikan. Pakatan sebegini, setelah tercapainya ABU, tidak ada lagi yang menyatukan,” katanya.

Semalam, media melaporkan beberapa parti pembangkang sedang mengadakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi menghadapi Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad agar membentuk satu gabungan bagi menghadapi PRU15.

Dalam pada itu, Shahril menyeru kepada rakyat Malaysia untuk memilih kestabilan politik pada PRU15 nanti.

Dilaporkan juga, turut mengadakan perbincangan berkaitan perkara yang sama dengan Dr Mahathir ialah Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Berilah peluang kepada kestabilan semasa memilih nanti. Cukuplah sekali ABU. Ayuh Malaysia kembali kepada BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here