PERJUMPAAN antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melibatkan perbincangan isu khusus.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, berkata ia hanya perjumpaan biasa yang lazim dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti berkenaan.
“Kita jumpa dengan semua orang, itu hebatnya Pas. Tak ada apa, dengan Tun Mahathir ini memang dari dulu perlu kita jumpa, sebelum dia jadi PM (Perdana Menteri) kita jumpa. Pas ini engage (berurusan) dengan semua orang,” katanya memetik Astro Awani.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, Taiping hari ini.
Semalam, Abdul Hadi mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir tidak lama lagi.
Katanya, Pas bersedia bekerjasama dengan dengan mana-mana parti yang tidak ekstrem dan liberal untuk menyatukan ummah.
Beliau akan menjadi pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) kedua untuk berjumpa bekas perdana menteri itu, pada saat gabungan itu berusaha mengukuhkan kedudukannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah bertemu dengan Tun Mahathir kira-kira dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berhubung kemungkinan kerjasama untuk PRU-15.
Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir berkata, beliau tidak menyokong usaha Muhyiddin untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.
Mengulas apakah perjumpaan Muhyiddin dan Dr Mahathir mewakili PN dan telah dibincangkan terlebih dahulu di peringkat PN, Idris berkata, beliau tidak maklum mengenai perkara itu kerana tidak terlibat dalam pimpinan tertinggi PN. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Idris Ahmad

