RAMAI pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghadapi masalah dalam proses permohonan pengeluaran khas yang mula dibuka semalam.
Kebanyakan mereka dikesan menghadapi masalah membabitkan nombor telefon bagi penerimaan Kod Pengesahan Transaksi (TAC).
Masalah itu disuarakan di ruangan komen laman Facebook rasmi KWSP sejak semalam.
“KWSP tolong periksa balik kami sebagai pemohon ni, nak kemaskini nombor telefon..ada cara lain tak selain pergi kiosk..saya pergi KWSP Ipoh tadi beratur panjang sampai luar bangunan..telefon KWSP langsung tak dapat,” kata Eicha Yaman.
Menjawab persoalan itu, KWSP memaklumkan buat masa ini, penukaran nombor telefon TAC hanya boleh dibuat melalui kiosk atau kaunter KWSP berdekatan kerana ia melibatkan pengesahan cap ibu jari.
“Namun, jika nombor telefon terkini yang digunakan belum berdaftar dengan KWSP, anda masih boleh mengemukakan permohonan Pengeluaran Khas melalui portal: https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/ dengan menjawab soalan keselamatan yang disediakan.
“Sebagai makluman tambahan, Pengeluaran Khas boleh dibuat melalui portal yang disediakan (tanpa perlu menjawab soalan keselamatan) selepas 24 jam dari masa pengemaskinian nombor telefon TAC di kiosk/kaunter KWSP.
“Tempoh permohonan dibuka dari 1 April 2022 sehingga 30 April 2022,” menurut KWSP.
Sementara itu terdapat juga pencarum yang tidak sabar dan meminta kelulusan permohonan dipercepatkan.
“Boleh dipercepatkan..Duit masuk bank.. Jangan tuggu 20 (April). KWSP lemah!” kata Nur Adam.
KWSP bagaimanapun menjelaskan bayaran akan dibuat bermula 20 April 2022. – Malaysiapost

