Saifuddin tekad jadi ‘team player’ dalam PKR

0
3

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana sebelumnya membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan dirinya sebagai salah seorang ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti.

“Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana sebelumnya membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihanraya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya.

“Saya komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri saya sebagai salah seorang ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Saifuddin semalam mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan yang dijadualkan pada Mei ini.

Dalam pengumumannya itu, beliau menggariskan beberapa harapan iaitu pemilihan parti perlu menjadi suatu proses menghormati hak dan kebebasan memilih dan tidak harus mencarikkan perhubungan dan silaturahim sesama pimpinan dan anggota.

“Pemilihan dalam parti bermaksud persaingan sesama rakan perjuangan yang membawa makna yang terpilih dan yang tidak, tetap mempunyai tempat dan peranan di dalam parti.

“Parti memerlukan satu pasukan kepimpinan yang kuat dan mantap yang berupa gabungan semua peringkat anak muda, wanita, pimpinan lama dan pimpinan baru yang akan bersama Presiden mempersiapkan parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Pemilihan ini akan menghasilkan saf kepimpinan baru yang boleh bekerja sebagai satu pasukan, saling menghormati, saling mengiktiraf peranan dan sumbangan masing-masing, bebas dari amalan berpuak (factions), memanfaat kelebihan bersama dan saling membantu kelemahan sesama kita,” katanya.

Pemilihan PKR 2022 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei 2022 dan kini dalam fasa pertama proses pemilihan dengan penamaan calon dijadualkan pada 8 April ini.

Sebelum ini Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli turut mengumumkan membuat ‘come back’ dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here