BEBERAPA persoalan mengenai masa depan landskap politik negara mula muncul susulan pendedahan Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini yang mendakwa bekas perdana menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi perihal itu di Facebook beliau dengan membangkitkan usaha berterusan dilakukan parti-parti pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun sanggup memperjudikan jaminan kestabilan politik negara.
“Apakah jaminan negara akan stabil jika apa yang berlegar dan pelbagai desas-desus yang tersebar hari ini termasuklah kemungkinan penggabungan parti-parti tertentu dalam usaha mengalahkan BN.
“Tun Mahathir dedahkan Tan Sri Muhyiddin, orang yang tikam belakang dia, kini merayu minta sokong agar dia dapat kembali jadi PM ke-10. Haji Hadi pula dikatakan akan bertemu juga Tun Mahathir,” katanya di Facebook, hari ini.
Menariknya, Asyraf mendedahkan PKR kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kem Rafizi Ramli dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
“PKR pula terpecah kepada dua kem… Kem Anwar yang nak cadang untuk bina ‘khemah besar’ menggabungkan semua parti-parti untuk lawan BN, tapi Kem Rafizi tak setuju untuk bekerjasama dengan parti ‘pengkhianat’.
“PH (DAP + PAN) mahu tokoh baharu sebagai calon Perdana Menteri untuk lawan BN,” katanya.
Menyentuh mengenai PAS, Asyraf membangkitkan persoalan mengenai adakah PAS sanggup menggadaikan prinsipnya untuk sekali lagi bersekongkol dengan DAP dalam gabungan yang dikenali sebagai ‘khemah besar’.
“Apakah PAS bersedia kembali kepada ‘khemah besar’ yang didalamnya ada Dap, PKR dan parti serpihannya PAN?
“Apakah jaminan negara boleh stabil sekiranya sekali lagi diberikan peluang kepada parti-parti yang hanya bergabung untuk kalahkan BN bukan sangat demi rakyat?
“Ada juga pandangan akar umbi supaya PAS kembali ke landasan asal Muafakat Nasional bersama UMNO-BN. Apa pandangan semua,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bekas Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Pejuang mendakwa Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengapa Presiden Bersatu itu meminta pertolongannya untuk menyokong sekali lagi menjadi Perdana Menteri.
“Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya. – Malaysiapost

